Islam Itu Indah
23.5K subscribers
14K photos
17 videos
3 files
4.47K links
sampai kan walaupun satu ayat
Download Telegram
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Rahmah Terhadap Orang Jahil

عن أنس بن مالك بَيْنَمَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَقَامَ يَبُولُ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْ مَهْ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ دَعُوهُ فَتَرَكُوهُ حَتَّى بَالَ ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ أَوْ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَمَرَ رَجُلًا مِنْ الْقَوْمِ فَجَاءَ بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَشَنَّهُ عَلَيْهِ

Daripada Anas B. Malik RA. Beliau berkata: “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing didalam masjid. Para sahabat Rasulullah SAW ingin mengertaknya, tetapi Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah SAW memanggil dan menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan membuat kotor, masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca al-Quran.” Atau sebagaimana sabda Nabi SAW yang sesuai. Setelah itu, Nabi SAW memerintahkan seorang sahabat untuk mengambil satu baldi air dan menyiram keatas kencingnya.” (HR Muslim, 2/133, no. 429). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Masjid merupakan tempat suci yang perlu dijaga kebersihan dan kesuciannya.

2.Masjid adalah tempat untuk berzikir (mengingati Allah), melaksanakan solat, membaca al-Quran, dan majlis ilmu.

3.Rasulullah SAW menunjukkan akhlak dan kebijaksanaan dalam menangani orang yang jahil iaitu dengan cara lemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Walaupun kencing di masjid adalah suatu kesalahan dan termasuk perbuatan mengotorkan masjid, tetapi Rasulullah SAW tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan.

4.Sikap lemah-lembut dan kesantunan lebih memberi kesan dalam penyampaian dakwah kerana ianya boleh menarik dan mendekatkan sasaran kepada kebenaran. Sebaliknya kekasaran akan menyebabkan sasaran menjauhkan diri.

5.Islam mengajar kaedah menolak kemudaratan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika orang yang sedang kencing tersebut dicegah dengan tiba-tiba, mungkin ia akan mengakibatkan mudarat yang lebih besar. Mungkin ia akan terkejut lalu lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya bersepah-sepah. Akhirnya najis tersebut akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya, serta terpalit ke tubuh-badannya pula.

6.Kebijaksanaan Rasulullah SAW, dengan tidak diperlakukan orang jahil itu dengan kasar yang mungkin hanya akan menjadikannya malu atau marah. Rasulullah berjaya menasihati dengan lemah-lembut dan penuh hikmah kepada Badwi tersebut.

7.Kita tidak boleh mencegah sesuatu kemungkaran dengan cara yang salah serta terburu-buru. Juga tidak boleh mencegah sesuatu keburukan dengan cara yang buruk juga.

8.Kita hendaklah meneliti di antara maslahah (kebaikan) dan mafsadahnya (keburukan) dengan pertimbangan yang tepat. Kita tidak boleh mengingkari sesuatu kemungkaran dengan suatu kemungkaran yang lain. Kita juga tidak boleh mengingkari kemungkaran sehingga menyebabkan berlaku kemungkaran yang lebih besar lagi.

Dalam hidup bermasyarakat dan bernegara, kita menghadapi pelbagai jenis dan karenah manusia. Ada yang melakukan tindakan seperti orang jahil. Berlaku hikmahlah dalam menghadapi mereka.

16hb Ogos 2022
18hb Muharram 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Golongan Yang Dinaungi Di Akhirat

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ إِمَامٌ عَادِلٌ وَشَابٌّ نَشَأَ بِعِبَادَةِ اللَّهِ وَرَجُلٌ كَانَ قَلْبُهُ مُعَلَّقًا بِالْمَسْجِدِ إِذَا خَرَجَ مِنْهُ حَتَّى يَعُودَ إِلَيْهِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ فَاجْتَمَعَا عَلَى ذَلِكَ وَتَفَرَّقَا وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ حَسَبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ

Daripada Abu Sa'id RA, Rasulullah SAW bersabda: "Tujuh (golongan) yang akan dinaungi Allah pada hari di mana tidak ada naungan lain kecuali naunganNya; pemimpin adil, pemuda yang tumbuh dalam beribadah kepada Allah, orang yang hatinya terikat dengan masjid bila ia keluar meninggalkannya hingga ia kembali lagi, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul kerana itu dan berpisah kerana itu, orang yang mengingat Allah saat menyendiri lalu kedua matanya berlinang, lelaki yang diajak oleh wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan (melakukan kejahatan) lalu ia berkata: Aku takut Allah, seseorang bersedekah lalu menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya." (Sunan Tirmidzi No: 2313) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

Setiap manusia akan dibangkitkan dan melalui kesusahan dan kepayahan padang mahsyar kecuali orang yang mendapat perlindungan Allah di Padang Mahsyar. Tujuh golongan orang yang akan mendapat perlindungan Allah di hari akhirat:

1.Pemimpin yang adil

2.Pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah

3.Orang yang hatinya sentiasa tertambat ke masjid

4.Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul dan berpisah kerana kecintaan kepada Allah.

5.Orang yang mengingat Allah ketika bersendirian lalu berlinangan air matanya

6.Lelaki yang diajak oleh wanita kaya dan cantik melakukan kejahatan, lalu ia enggan dan berkata berkata: Aku takut Allah

7.Seseorang yang bersedekah lalu menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.

Dalam membina sebuah negara merdeka, berusahalah menjadi warganegara yang mendapat naungan dan rahmat Allah di hari Kiamat. Berlaku adillah dalam kepimpinan. Berusahalah menjadi abid, tambatlah diri dengan masjid, saling mencintai antara satu sama lain kerana Allah, jadilah orang yang takut diazab dengan sebab dosa dan perbanyakkanlah bersedekah.

21hb Ogos 2022
23hb Muharram 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Jaga Hak Allah, Diri dan Masyarakat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَأْخُذُ عَنِّي هَؤُلَاءِ الْكَلِمَاتِ فَيَعْمَلُ بِهِنَّ أَوْ يُعَلِّمُ مَنْ يَعْمَلُ بِهِنَّ فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَقُلْتُ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَخَذَ بِيَدِي فَعَدَّ خَمْسًا وَقَالَ اتَّقِ الْمَحَارِمَ تَكُنْ أَعْبَدَ النَّاسِ وَارْضَ بِمَا قَسَمَ اللَّهُ لَكَ تَكُنْ أَغْنَى النَّاسِ وَأَحْسِنْ إِلَى جَارِكَ تَكُنْ مُؤْمِنًا وَأَحِبَّ لِلنَّاسِ مَا تُحِبُّ لِنَفْسِكَ تَكُنْ مُسْلِمًا وَلَا تُكْثِرْ الضَّحِكَ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ

Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Siapakah yang mahu mengambil beberapa kalimat daripadaku lalu mengamalkannya atau mengajarkan pada orang yang akan mengamalkannya?" Abu Hurairah menjawab: Saya, wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah memegang tanganku lalu menyebut lima perkara; Jauhkanlah larangan-larangan nescaya kamu akan menjadi orang yang paling beribadah, terimalah pemberian Allah dengan rela nescaya engkau akan menjadi orang paling kaya, berbuat baiklah kepada jiran tetangga nescaya kamu akan menjadi orang yang benar-benar beriman, kasihilah orang lain sepertimana engkau mengasihi dirimu sendiri nescaya engkau akan menjadi orang muslim yang sebenar-benarnya dan, janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa akan mematikan hati." (HR Tirmidzi No: 2227) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Rasulullah SAW mengajar kepada kita untuk mengambil pesanan baginda bagi di amalkan dan disampaikan kepada orang lain. Antara pesanan untuk dilaksanakan dan disampaikan:

a.Jauhi larangan dan tegahan seperti minum arak, mencuri, meninggalkan perintah wajib umpama solat dan sebagainya agar kita menjadi orang yang paling beribadat.

b.Merasa reda dan puas hati dengan apa yang dikurniakan Allah. Tidak merasa keluh kesah, kecewa serta tamak dengan apa yang dimiliki. Yakin setiap sesuatu itu adalah ketentuan taqdir Allah nescaya kita akan menjadi orang yang paling kaya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW baginda bersabda: "Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati." (HR Bukhari No: 5965)

c.Berbuat baik kepada jiran tetangga dengan sentiasa menyayangi, memberi pertolongan, menziarahi, tidak menyakitinya sama ada dengan perbuatan, perkataan dan sebagainya. Menjaga hak jiran sama ada Muslim mahupun tidak, adalah bukti kesempurnaan iman.

d.Mengasihi orang lain sepertimana kita mengasihi diri sendiri adalah bukti keislaman dan keimanan seseorang. Tidak boleh menzalimi dan menganiaya serta menyakiti saudara kita. Firman Allah:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَة
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara (Hujurat: 10)

e.Jangan banyak ketawa kerana banyak gelak ketawa akan melalaikan seseorang daripada mengingati Allah serta akan menjadi penyebab menghalang cahaya petunjuk dan boleh mematikan hati.

2. Marilah kita menjaga hak Allah, hak diri dan hak manusia. Peliharalah hubungan yang baik sama ada hubungan dengan Allah juga dengan masyarakat seluruhnya.

29hb Ogos 2022
01hb Safar 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Jadilah Warganegara Terbaik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ فَقَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ قَالَ فَسَكَتُوا فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَقَالَ رَجُلٌ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا قَالَ : " خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ

Daripada Abu Hurarirah RA berkata, “Nabi SAW melewati sekelompok orang yang sedang duduk. Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kalian, orang yang terbaik di antara yang terburuk dalam kalangan kalian?” Mereka pun terdiam. Rasulullah SAW pun mengulangi pertanyaan tersebut sampai tiga kali. Kemudian mereka pun menjawab, “ya, wahai Rasulullah! Beritahu kepada kami siapakah orang yang terbaik di antara yang terburuk di antara kami.” Rasulullah SAW kemudian bersabda,“Manusia terbaik di antara kalian adalah yang diharapkan kebaikannya dan orang lain merasa aman dari gangguannya. Manusia terburuk di antara kalian adalah yang tidak diharapkan kebaikannya dan orang lain juga tidak merasa aman dari gangguannya.” (Sunan Tirmidzi no. 2263) Status: Sahih dalam Shahih Al-Jami’ no. 2603.

Pengajaran:

1.Manusia yang terbaik adalah yang sentiasa mendatangkan kebaikan kepada orang lain dan orang lain merasa aman dari gangguannya.

2.Manusia terburuk adalah yang tidak mendatangkan kebaikan kepada orang lain malah orang lain merasa tidak aman dari gangguannya

3.Jadikanlah kehadiran kita ditengah-tengah masyarakat sebagai orang yang bermanfaat dan dirasai kebaikan oleh orang lain. Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain. (HR Ibn Hibban No: 2/48)

4.Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat pada orang lain. Sabda Rasulullah SAW:

أحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنَّاسِ

Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain. (Riwayat at-Tabarani) Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadis dan juzu’ : 6/139

Marilah kita berusaha untuk menjadi warganegara yang bermanfaat dan jauh dari menjadi musibah dan mudarat kepada masyarakat dan negara. Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

31hb Ogos 2022
03hb Safar 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Bertakwa dan Berakhlak Dalam Pergaulan

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Daripada Abu Dzar RA ia berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Bertakwalah kamu kepada Allah dimana saja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik." (Sunan Tirmizi No: 1910) Status: Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.Setiap Muslim perlu memiliki sifat takwa dimana-mana sahaja berada dan dalam setiap waktu.

2.Takwa ialah sentiasa melaksanakan ketaatan kepada Allah dan menjauhi perkara yang dilarang.

3.Takwa itu ialah sifat berhati-hati dan sentiasa merasakan diri diawasi oleh Allah.

4.Abu Darda berkata: Taqwa yang paling sempurna ialah seorang hamba yang takut kepada Allah hinggakan dalam urusan seberat zarahpun dia masih takut. Setengah perkara yang halal pun ditinggalkan kerana takut ia menjadi haram.

5.Lakukanlah amal kebaikan kerana ia boleh menjadi penyebab kepada penghapusan dosa yang dilakukan seperti beristighfar, berwuduk, solat, sedekah dan sebagainya.

6.Berakhlak baiklah dalam pergaulan sesama manusia sama ada ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sepejabat mahupun anggota masyarakat yang Muslim dan Non Muslim.

7.Jagalah akhlak dalam perhubungan sesama kita dalam organisasi dan masyarakat. Elakkan umpatan, fitnah, hinaan, merendah-rendah orang lain dan sebagainya.

Jadilah kita orang bertaqwa, yang melakukan amal solleh dan menjauhi mungkar, serta berakhlak mulia dalam pergaulan sesama manusia. Bersamalah kita membina masyarakat dan negara yang harmoni dan sejahtera.

01hb Sept 2022
04hb Safar 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Hilang Amanah dan Berlaku Kiamat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَجْلِسٍ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ جَاءَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ مَتَى السَّاعَةُ فَمَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَدِّثُ فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ سَمِعَ مَا قَالَ فَكَرِهَ مَا قَالَ وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ لَمْ يَسْمَعْ حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ قَالَ أَيْنَ أُرَاهُ السَّائِلُ عَنْ السَّاعَةِ قَالَ هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Ketika Nabi SAW berada dalam suatu majlis membicarakan suatu kaum, tiba-tiba datanglah seorang Arab Badwi lalu bertanya: "Bila datangnya hari kiamat?" Namun Nabi SAW tetap melanjutkan pembicaraannya. Sementara itu sebahagian sahabat ada yang berkata; "baginda mendengar perkataannya akan tetapi baginda tidak menyukai apa yang dikatakannya itu", dan ada pula sebahagian yang mengatakan; "bahawa baginda tidak mendengar perkataannya." Hingga akhirnya Nabi SAW menyelesaikan pembicaraannya, seraya berkata: "Mana orang yang bertanya tentang hari kiamat tadi?" Orang itu berkata: "saya wahai Rasulullah!". Maka Nabi SAW bersabda: "Apabila sudah hilang amanah maka tunggulah terjadinya kiamat". Orang itu bertanya: "Bagaimana hilangnya amanah itu?" Nabi SAW menjawab: "Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka akan tunggulah terjadinya kiamat". (HR Bukhari No: 57) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Hari Kiamat adalah hari kemusnahan dan kehancuran pada alam ini

2. Antara tanda kiamat akan berlaku apabila hilang sifat Amanah

3. Amanah itu adalah nilai keimanan. Bila hilang kejujuran, tergoda dengan habuan dunia, terlibat dengan penyelewengan dosa dan maksiat seperti rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa maka akan lunturlah nilai keimanan.

4. Amanah hilang apabila urusan dan pentadbiran diserahkan kepada orang yang bukan ahli dan tidak layak apabila nilai keimanannya hilang.

5. Menurut Al-Munawi, dekatnya kiamat apabila menyerahkan urusan dalam hal amar (perintah) maaruf dan nahi (larangan) mungkar kepada yang tidak amanah, rapuh agamanya, lemah Islamnya, dan mengakibatkan bermaharajalelanya kebodohan.

@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Tekun dan Bersungguh-sungguh

عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إن اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu yang melakukan sesuatu amalan, dilakukan secara tekun.” (HR Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929). Status Hadis Sahih

Pengajaran

1. Tekun bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan tugas atau kerja dengan sebaik dan sesempurna mungkin sebagaimana yang dikehendaki tanpa kurang sedikitpun.

2. Sifat tekun ini merupakan salah satu lambang atau tanda keislaman

3. Tekun adalah asas bagi menghasilkan prestasi dan mutu kerja yang berkualiti. Pekerja yang tekun akan sentiasa melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh pada setiap masa.

4. Ganjaran disisi Allah bergantung kepada keikhlasan dan kesungguhan seseorang melakukan sesuatu pekerjaan yang diredhai Allah.

5. Allah SWT mengasihi orang yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan baik dan bersungguh-sungguh.

6. Setiap pekerja dari peringkat bawahan sehinggalah pemimpin tertinggi perlu melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Lebih lagi apabila ia dipilih dan dilantik oleh orang bawahan sebagai ketua atau wakil rakyat. Janganlah hanya menjelang pilihanraya baru nampak muka untuk menyantuni rakyat. Perlu diingat pemimpin adalah khadam kepada rakyat!.

28hb Okt 2022
02hb Rabiul Akhir 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Tiga Golongan Mendapat Azab

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمْ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ قَالَ أَبُو مُعَاوِيَةَ وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ شَيْخٌ زَانٍ وَمَلِكٌ كَذَّابٌ وَعَائِلٌ مُسْتَكْبِرٌ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga orang yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat, dan tidak mensucikan mereka". Abu Mu'awiyah menyebutkan, "Dan Allah tidak melihat kepada mereka. Mereka mendapat siksa yang pedih: iaitu orang tua yang berzina, pemimpin yang pendusta, dan orang miskin yang sombong." (HR Muslim No: 156) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Tiga golongan yang tidak mendapat rahmat Allah di hari kiamat dan tidak dibersihkan dosanya serta mendapat siksa yang pedih:

a. Orang tua yang berzina
b. Pemimpin yang berbohong
c. Orang miskin yang sombong

2. Sebagai mukmin, berusahalah menjauhi perbuatan zina, perkara yang mendatangkan azab Allah.

3. Sebagai pemimpin, berusahalah agar sentiasa memiliki sifat jujur, amanah dan tidak membohongi orang yang berada di bawah kepimpinan kita. Jangan jadikan jawatan hanya untuk kepentingan diri dan keluarga, sedangkan rakyat di bawah menderita.

4. Milikilah sifat tawaduk dan merendah diri dengan sentiasa mengharap bantuan dan limpah kurnia dari Allah. Jangan sesekali berasa hebat dan berlagak sombong.

13hb Nov 2022
18hb Rabiul Akhir 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Jangan Jadi Umat Seperti Buih

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

Daripada Tsauban ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Hampir umat-umat berkerumun memusuhi kamu (umat Islam), seperti orang yang kuat makan mengerumuni makanan di dulang." Seorang laki-laki bertanya, "Apakah kami waktu itu jumlahnya sedikit?" baginda menjawab: "Jumlah kamu pada waktu itu sangat banyak, namun kamu seperti buih laut. Sungguh Allah mencabut kehebatan gerun yang ada pada kamu daripada hati musuh, dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-Wahn." Seseorang lalu bertanya, "Wahai Rasulullah, apa itu Al-Wahn?" baginda menjawab: "Cintakan dunia dan takutkan mati." (HR Abu Daud No: 3745) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Akan sampai suatu masa umat Islam bilangannya ramai namun penghayatan kepada amalan Islam amat longgar. Penghayatan terhadap al-Quran dan al-Hadis tidak dihiraukan, semangat jihad dan pengorbanan semakin luntur.

2. Musuh Islam mengerumuni umat Islam seperti mengerumuni makanan kerana tidak ada lagi rasa gerun di atas kehebatan yang ada pada umat Islam. Sifat yang ada pada umat Islam adalah ingin memenuhi keperluan nafsu masing-masing.

3. Walaupun bilangan umat Islam ramai namun umpama buih, tiada kekuatan dan kemuliaan. Ditiup angin pecah dan berterbangan, tidak tahan lama menghadapi suasana dan cabaran. Berbeza di zaman Rasulullah dan para sahabat, walaupun bilangan mereka sedikit namun mereka boleh mengalahkan musuh yang ramai.

كَم مِّن فِئَةٖ قَلِيلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةٗ كَثِيرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّبِرِينَ ٢٤٩

"Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 249)

4. Umat Islam lemah kerana telah dicampakkan kedalam hati mereka sifat al-wahan iaitu kecintaan kepada dunia dan bencikan kematian (mereka hanya berlumba mendapatkan kepentingan keduniaan seolah-olah mereka tidak akan mati).

5. Penyakit al-Wahan berpunca dari kekosongan rohani, mereka hanya mengutamakan hawa nafsu dengan menumpukan kepentingan dunia dan menggunakan pelbagai cara dan tipu daya sehingga hilang nilai akhlak. Yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, fitnah dan dengki terhadap orang lain.

6. Nilai kekuatan umat Islam bukan dari segi bilangan tetapi yang lebih penting adalah dari aspek kualiti, mereka yang menghayati dan beramal dengan ajaran Islam.

Marilah kita berusaha membina kekuatan jati diri serta menunaikan tanggungjawab ukhuwah sesama kita dan saling bertolong bantu memastikan kekuatan Islam dihadapan, bukan kepentingan peribadi.

19hb Dis 2022
24hb Jamadil Awal 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Doa Mohon Perlindungan Semasa Tahiyat Akhir

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُو وَيَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW berdoa: Ya Allah aku berlindung kepadaMu dari siksa kubur dan dari siksa api neraka dan dari fitnah kehidupan dan kematian dan dari fitnah Al Masih Dajjal. (HR Bukhari No: 1288) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Hidup manusia sentiasa terdedah kepada bahaya dan kejahatan. Kita disuruh berdoa agar sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, selamat daripada ujian di dunia dan juga di hari akhirat.

2. Antara tempat yang disunatkan berdoa ialah setelah selesai bacaan tahiyat akhir dan sebelum Salam.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَعَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ثُمَّ يَدْعُو لِنَفْسِهِ بِمَا بَدَا لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Jika salah seorang di antara kalian bertasyahud, maka mintalah perlindungan pada Allah dari empat perkara yaitu dari siksa Jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati dan dari kejahatan Al Masih Ad Dajjal, kemudian hendaklah ia berdoa untuk dirinya sendiri dengan doa apa saja yang ia inginkan.” (HR. An Nasai no: 1293) Status: Sahih

3. Antara lafaz doa semasa selesai bacaan tahiyat akhir:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

4. Doa di atas mengandungi permohonan perlindungan daripada siksa neraka jahanam serta daripada segala fitnah yang melanda manusia sepanjang masa hidup sehingga kematian.

Ayuh kita amalkan doa ini agar sentiasa terhindar dari fitnah semasa hidup, fitnah dajjal, fitnah ketika mati, siksa kubur serta siksa neraka jahanam.

23hb Dis 2022
28hb Jamadil Awal 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Mukmin Yang Lebih Dicintai Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; "Rasulullah SAW bersabda: 'Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah. Pada masing-masing memang terdapat kebaikan. Bersemangatlah melakukan hal yang bermanfaat untukmu dan meminta tolonglah pada Allah, serta janganlah engkau malas (menjadi orang yang lemah). Apabila kamu tertimpa suatu kemalangan, maka janganlah kamu mengatakan; 'Seandainya tadi aku berbuat begini dan begitu, nescaya tidak akan menjadi begini dan begitu'. Tetapi katakanlah; 'lni sudah takdir Allah dan apa yang dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan-Nya.Dan jauhilah olehmu dari ucapan 'Seandainya' (kalau), kerana sesungguhnya ungkapan 'Seandainya' (kalau) membuka peluang masuknya syaitan " (HR Muslim No: 4816) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah.

2. Mukmin yang kuat dan dicintai Allah adalah yang kuat imannya dan mampu melaksanakan kewajiban dan menyempurnakan tanggungjawabnya.

3. Mukmin yang lemah tidak melaksanakan kewajiban dan enggan meninggalkan yang haram. Orang seperti inilah yang memiliki kekurangan dan tidak disukai Allah

4. Kedua-dua mukmin ini sama-sama memiliki kebaikan. Mukmin yang lemah imannya, masih tetap memiliki kebaikan dan dia tentu saja lebih baik daripada orang kafir. Namun mukmin yang kuat imannya tentu saja lebih dicintai oleh Allah.

5. Rasulullah memerintahkan agar bersemangat dalam melakukan hal-hal yang bermanfaat dalam perkara yang berkaitan dengan agama dan dunia untuk menjadi mukmin yang lebih baik dan lebih dicintai Allah.

6. Jika berlaku sesuatu yang kurang menyenangkan, redhalah di atas ketetapan taqdir dengan hati yang tenang sehingga bertambahlah imannya.

7. Jauhilah berkata "kalau" atau "seandainya" kerana ia akan membuka peluang hasutan syaitan.

Marilah kita bersifat RAHMAH dengan menjadi Mukmin yang KUAT IMAN

24hb Dis 2022
29hb Jamadil Awal 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Berbakti Kepada Ibubapa

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ فَأَضِعْ ذَلِكَ الْبَابَ أَوْ احْفَظْهُ

Daripada Abu Ad Darda dia mendengar Nabi SAW bersabda: "Orang tua ibarat penengah pintu-pintu syurga, oleh kerana itu letakkanlah ia atau jagalah ia baik-baik." (Sunan Ibnu Majah No: 3653) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Ibu bapa ibarat pintu syurga bagi setiap anak.

2. Menjadi kewajipan kepada anak-anak untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa nescaya Allah akan memberikan ganjaran syurga.

3. Al-Qadhi Baidhawi berkata: Cara terbaik untuk masuk syurga, dan cara mendapatkan darjat yang tinggi di syurga adalah dengan mentaati orang tua dan berusaha mengasihi dan berbakti padanya. Ada juga ulama yang mengatakan, ‘Di syurga ada banyak pintu. Yang paling selesa untuk dimasuki adalah yang paling tengah. Untuk membolehkan masuk ke syurga melalui pintu tengah itu adalah dengan berbakti kepada orang tua.’ (Tuhfatul Ahwadzi, 6/21).

4. Anak-anak yang tidak berbakti dan berbuat baik kepada orang tua, akan terlepas peluang ke syurga.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah dia berkata; Nabi SAW bersabda: "Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!" lalu baginda ditanya; "Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?" Jawab Nabi SAW: "Barang Siapa yang mendapati kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah satu dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya)." (HR Muslim No: 4628) Status: Sahih

Berbaktilah sebaik mungkin kepada kedua ibu bapa sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia (dengan mendoakannya).

26hb Dis 2022
02hb Jamadil Akhir 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Doa Hati Tidak Berbolak-balik

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُا أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Abdullah bin 'Amru bin Al 'Ash berkata; bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hati semua manusia itu berada di antara dua jari dari sekian jari Allah Yang Maha Pemurah. Allah SWT akan memalingkan hati manusia menurut kehendak-Nya." Setelah itu, Rasulullah SAW berdoa; “Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!” (HR Muslim No: 4798) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sesungguhnya al-qalb (hati) itu berasal daripada perkataan ‘taqallub’ yang bermaksud kerap bertukar (berbolak balik). Hati diumpamakan seperti bulu di atas pokok yang berubah-ubah ketika ditiup angin. Ia juga berbolak balik diumpamakan lebih cepat daripada air yang mendidih dalam periuk.

2. Begitulah fitrah hati yang cepat berubah dan bertukar antara kebaikan atau kejahatan. Maka berhati-hatilah dalam menjaga apa yang ada dalam hati agar tetap berada atas kebaikan. Sesungguhnya penglihatan, pendengaran, persekitaran, pergaulan dan apa yang dimakan atau diminum serta dibaca oleh seseorang mampu menyebabkan hati itu berubah-ubah dengan izin Allah SWT. Namun, Allah SWT jua yang memberikan ilham dan ikhtiar kepada hamba-Nya untuk memilih jalan bahagia ataupun sengsara.

3. Hati manusia berada di bawah kekuasaan Allah yang Maha Pemurah. Allah memalingkan hati manusia tersebut sesuai dengan kehendak-Nya. Imam Nawawi menyebutkan: Allah membolak-balikkan hati seseorang sekehendak-Nya.

4. Setiap Muslim dituntut agar sentiasa berdoa memohon hidayah kepada Allah SWT sekurang-kurang sebanyak 17 kali sehari (dalam solat). Rasulullah SAW sendiri sentiasa memohon kepada Allah SWT agar diteguhkan hati dalam melaksanakan ketaatan dan beragama kerana hidayah itu adalah milik Allah SWT. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Ya Allah, Engkau yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu.

5. Jika seorang hamba bergantung dan bersandar pada dirinya sendiri, tentu ia akan binasa.

6. Kita hendaklah menyerahkan segala usaha kepada Allah dan janganlah berpaling dari-Nya walaupun sebentar.

Hendaklah setiap kita sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah agar terus diteguhkan hati dalam ketaatan dan tidak terjerumus dalam maksiat atau kesesatan.

27hb Dis 2022
03hb Jamadil Akhir 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Dibuka Pintu Beramal Soleh

عَنْ عَمْرِو ابْنِ الْحَمِقِ الْخُزَاعِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قِيلَ: وَمَا اسْتَعْمَلَهُ قَالَ: يُفْتَحُ لَهُ عَمَلاً صَالِحاً بَيْنَ يَدَيْ مَوْتِهِ حَتَّى يَرْضَى عَنْهُ مَنْ حَوْلَهُ

Daripada Amr Ibn al Hamiq al Khuza’i sesungguhnya dia mendengar Nabi SAW bersabda: “Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan membuatnya beramal.” Para sahabat bertanya; “Bagaimana membuatnya beramal?” Baginda bersabda: “Allah membukakan pintu kepadanya untuk beramal soleh sebelum kematiannya, sehingga ia diredhai orang-orang sekelilingnya”. (HR. Ahmad No:21949) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Allah yang menjadikan seseorang itu baik dan soleh.

2. Seseorang Muslim itu menjadi baik apabila Allah menggerakkannya untuk melakukan amal soleh.

3. Allah membukakan pintu, relung serta penjuru bagi mendorong seseorang melakukan amal soleh yang berterusan sehingga orang sekelilingnya merasai dan memperakukan amal tersebut.

Semoga kita sentiasa ditunjukkan pintu-pintu serta penjuru untuk melakukan amal soleh, bukan sahaja amal peribadi malah juga untuk masyarakat dan Negara. Berusaha bersungguh-sungguh dengan amal soleh dan berdoalah agar kita sentiasa di tunjukkan pintu-pintu untuk beramal soleh hingga akhir hayat kita.

09hb Januari 2023
16hb Jamadil Akhir 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Ucapan Ketika Melihat Suatu Yang Disukai dan Dibenci

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Daripada 'Aisyah RA dia berkata; "Apabila Rasulullah SAW melihat sesuatu yang baginda sukai, baginda akan mengucapkan: "Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna." dan apabila baginda melihat sesuatu yang dibenci, baginda mengucapkan: "Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan." (Sunan Ibnu Majah No: 3793) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW mengajar kepada kita adab apabila melihat sesuatu sama ada yang disukai atau yang dibenci.

2. Apabila melihat sesuatu yang disukai, hendaklah kita mengucapkan kalimah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

"Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna."

3. Apabila melihat sesuatu yang kita benci hendaklah kita mengucapkan kalimah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

"Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan

Mari kita amalkan kalimah terpuji apabila melihat sesuatu yang disukai mahupun juga yang dibenci

15hb Januari 2023
22hb Jamadil Akhir 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Golongan Penghuni Syurga

عَنْ عِيَاضِ بْنِ حِمَارٍ الْمُجَاشِعِيِّ رضي الله عنه عن النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال وَأَهْلُ الْجَنَّةِ ثَلَاثَةٌ ذُو سُلْطَانٍ مُقْسِطٌ مُتَصَدِّقٌ مُوَفَّقٌ وَرَجُلٌ رَحِيمٌ رَقِيقُ الْقَلْبِ لِكُلِّ ذِي قُرْبَى وَمُسْلِمٍ وَعَفِيفٌ مُتَعَفِّفٌ ذُو عِيَالٍ

Daripada Aiyadh bin Himar al Mujasyai RA daripada Nabi SAW bersabda: "Penghuni syurga itu terdiri daripada tiga golongan; iaitu penguasa yang berlaku adil, gemar bersedekah dan diberi kurnia taufik (Allah), seorang yang penuh kasih sayang dan lemah lembut kepada setiap kerabat dan sesama muslim, dan seorang yang suci dan miskin namun menjaga dirinya dari meminta-minta” (HR Muslim No: 2865) Status : Hadis Sahih

Pengajaran

Antara golongan yang akan menjadi penghuni Syurga ialah:

1. Penguasa atau pemimpin yang adil, sentiasa pemurah dengan bersedekah dan diberi kurnia taufik oleh Allah dalam menjalankan tanggungjawab.

2. Orang yang memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut kepada setiap kerabat dan sesama muslim yang lain

3. Orang yang suci hatinya walaupun miskin namun menjaga dirinya dari menjadi peminta sedekah.

Semoga kita berusaha memiliki ciri-ciri golongan penghuni syurga.

19hb Januari 2023
26hb Jamadil Akhir 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Selidik Setiap Ucapan Elakkan Fitnah

عَنْ أَبي هُرَيْرَةَ  أَنَّهُ سَمِعَ النَّبيَّ ﷺ يَقُولُ: إنَّ الْعَبْد لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلِمةِ مَا يَتَبيَّنُ فيهَا يَزِلُّ بهَا إِلَى النَّارِ أبْعَدَ مِمَّا بيْنَ المشْرِقِ والمغْرِبِ

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda : “Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur dan barat.” (HR Bukhari No: 6477) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap yang kita ucapkan mahupun yang kita tulis dan sebarkan pastikan yang benar bukan fitnah atau berbentuk umpatan.

2. Sesiapa yang bercakap mahupun menulis sesuatu yang tidak diselidiki akan kebenarannya boleh menyebabkan ia tergelincir ke dalam neraka.

3. Al-Qastalani berkata: Iaitu kalimah atau ucapan tanpa berfikir keburukan natijah hasil percakapan tersebut. (Lihat Irsyad al-Sari, 9/274)

4. Akhir zaman menyaksikan begitu banyak fitnah dan penipuan berleluasa.

Ada pihak yang menuduh tanpa bukti yang kukuh dan ada pihak yang begitu dangkal mempercayai berita yang tiada pucuk pangkalnya. Nabi SAW memberikan amaran kepada sesiapa yang suka bercakap tentang perkara yang tidak diketahui kebenarannya.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu.” Surah Al-Nur (11)

Ibn Kathir berkata: Firman Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta,” iaitu dengan dusta, fitnah dan umpat keji. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/25)

Moga Allah memelihara kita dari begitu mudah memperkatakan sesuatu tanpa diselidiki sama ada ia berbentuk fitnah mahupun umpatan.

20hb Januari 2023
27hb Jamadil Akhir 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Empat Bulan Haram

عن أبي بكرة نفيع بن الحارث رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Daripada Abi Bakrah Nafi’ bin al Harith RA, dari Nabi SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.” (HR Bukhari No: 4054) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) bermaksud bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana Allah SWT mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.

2. Bulan Rejab Mudhor mengikut Syeikh Mustafa al-Bugho, perkataan Mudhor ini dinisbahkan kepada satu kabilah yang dinamakan Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut berbanding bulan-bulan lain.

3. Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 130/4)

4. Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata’if al-ma’arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut majoriti ulama’ ia berlaku pada 27 Rejab.

5. Bulan Rejab antara empat bulan Haram dimana kita digalak menggandakan setiap amalan yang kita lakukan dalam bulan-bulan tersebut.

6. Kita telah memasuki bulan Rejab, Abu Bakr Al-Balkhi berkata:

شَهْرُ رَجَبٍ شَهْرُ الزَّرْعِ وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سَقْيِ الزَّرْعِ وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حِصَادِ الزَّرْعِ

Bulan Rajab waktu menanam, bulan Syaaban waktu menyiram tanaman dan bulan Ramadhan waktu menuai hasil.

Untuk itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita seperti solat sunat, puasa sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi sebagai persiapan bertemu Ramadan nanti.

24hb Januari 2023
02hb Rejab 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Tuduhan Tidak

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنها قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم يَقُوْلُ: وَ مَنْ قَالَ فىِ مُؤْمِنٍ مَا لَيْسَ فِيْهِ أَسْكَنَهُ اللهُ رَدْغَةَ اْلخَبَالِ حَتىَّ يَخْرُجَ مِمَّا قَالَ

Daripada Abdullah bin Umar RA berkata, aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang berkata mengenai seorang mukmin yang tidak ada padanya, maka Allah akan menempatkannya pada “rodghah al-Khabal” sehingga ia keluar dari apa yang ia katakan” (HR Abu Daud No: 3597) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam mendidik umatnya agar sentiasa berakhlak dan beradab dalam hubungan sosial dengan orang lain.

2. Jika seseorang menuduh muslim lain dengan sesuatu yang tidak benar padanya sekadar bersangka-sangka sama ada dengan percakapan mahupun tulisan, maka tuduhan itu akan membawanya kepada keburukan di hari kiamat.

3. Rasulullah SAW memberi ancaman keras bagi seseorang yang menuduh mukmin lain dengan suatu tuduhan dan fitnah, Allah akan menempatkan pada “rodghah al-Khabal”, yakni tempat yang berisi cairan dari penduduk neraka berupa keringat, darah, nanah, kotoran dan sebagainya sehingga ia keluar dari apa yang ia katakan atau dia mendapat kemaafan dari orang yang di tohmah dan fitnah.

Jauhkan dari mengadu domba dengan umpatan dan fitnah terutama di media sosial. Bagi kita sebagai pembaca, elakkan share dan forward sesuatu yang berbentuk tuduhan dan sangkaan penulis. Jika salah ia menjadi fitnah. Jika betulpun dia jadi mengumpat.

05hb Februari 2023
14hb Rejab 1444H
@islamitu_indah
ASSALAMUALAIKUM WBT
#RENUNGANSUBUH

Sedekah Berkualiti

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبَقَ دِرْهَمٌ مِائَةَ أَلْفِ دِرْهَمٍ قَالُوا وَكَيْفَ قَالَ كَانَ لِرَجُلٍ دِرْهَمَانِ تَصَدَّقَ بِأَحَدِهِمَا وَانْطَلَقَ رَجُلٌ إِلَى عُرْضِ مَالِهِ فَأَخَذَ مِنْهُ مِائَةَ أَلْفِ دِرْهَمٍ فَتَصَدَّقَ بِهَا

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda, “Satu dirham dapat mengalahkan seratus ribu dirham“. Lalu ada sahabat yang bertanya, “Bagaimana boleh terjadi wahai Rasulullah?” Baginda menjelaskan, “Ada seorang yang memiliki dua dirham lalu mengambil satu dirham untuk disedekahkan. Ada pula seseorang memiliki harta yang banyak sekali, lalu ia mengambil dari hartanya seratus ribu dirham untuk disedekahkan.” (HR. Nasai No: 2527) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Sedekah setiap Muslim ganjarannya bergantung kepada keikhlasan dan harta yang dimiliki.

2. Ada Muslim yang bersedekah dengan nilai satu dirham, namun ganjarannya mengatasi orang yang bersedekah seratus ribu dirham kerana ia bersedekah separuh dari harta yang dimilikinya (dua dirham) walaupun yang disedekahkan dari segi jumlahnya sedikit namun nilainya sangat besar pada dirinya.

3. Ada Muslim yang bersedekah seratus ribu dirham, mungkin dari segi jumlahnya banyak namun nilainya kecil di sisinya (hanya sedikit) kerana dia memiliki jutaan dirham yang lain.

4. Sedekah itu bukan bergantung pada kuantiti namun yang lebih penting adalah kualiti dan keikhlasan.

5. Galakan bersedekah tidak hanya kepada orang kaya malah juga kepada orang yang kurang berada kerana sedekah itu tidak akan mengurangi hartanya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda: Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya." (HR. Muslim no. 4689) Status: Hadis Sahih

Mari kita hulurkan sedekah yang berkualiti.

08hb Februari 2023
17hb Rejab 1444H
@islamitu_indah